20 March 2011

Fenomena Supermoon




Supermoon adalah istilah umum yang digunakan untuk menggambarkan keadaan di mana bulan berada pada kedudukan paling dekat dengan bumi (perigee). Istilah ini tidak diterima secara meluas, terutama dalam komuniti saintifik.
Syzygy pula adalah istilah yang paling kerap digunakan oleh ahli astronomi bagi menggambarkan kedudukan objek dalam sistem suria, terutamanya yang melibatkan penyelarasan atau penjajaran tiga atau lebih objek dalam sistem suria (dengan kata lain objek berada dalam satu garis lurus).
Istilah adi bulan (bahasa Melayu) juga turut digunakan bagi menggambarkan fenomena tersebut. (Pertama kali mengetahui istilah ini di Berita Kosmo semalam)
Adakah Supermoon/Syzygy adalah fenomena biasa?
Ia adalah fenomena alam yang jarang berlaku, tetapi tidak juga boleh dianggap luar biasa kerana keadaan itu boleh diramal berdasarkan pergerakan bulan dan bumi. Fenomena ini juga pernah berlaku beberapa kali, iaitu pada tahun 1955, 1974, 1992 dan 2005. Pada tahun ini (2011), ahli astronomi meramalkan ia akan berlaku sekali lagi, iaitu pada 19 Mac.
Adakah fenomena ini bakal menyebabkan bencana alam?
Semasa fenomena ini berlaku kedudukan bulan akan berada terlalu hampir dengan bumi, iaitu pada kedudukan 356,577 kilometer berbanding 384,403 kilometer pada hari-hari biasa. Richard Nolle (seorang ahli astrologi yang mengendalikan laman astropro.com), menggelarnya sebagai “supermoon ekstrim”. Menurut ramalan beliau, pada ketika itu berkemungkinan badai besar (tsunami), gempa bumi, letusan gunung berapi, air pasang besar dan bencana alam lain akan berlaku. Sama seperti Tsunami yang melanda Aceh (Indonesia) pada 26 Disember 2004 berlaku lebih kurang 2 minggu sebelum fenomena supermoon pada Januari 2005.
Bagaimanapun itu tidak semestinya betul kerana harus difahami bahawa astrologi mempunyai sedikit perbezaan dengan astronomi. Astrologi bukanlah ilmu pengetahuan yang nyata, tetapi hanya membuat hubungan antara peristiwa astronomi dan mistik. Sebahagian besar bencana alam tidak ada hubungannya dengan bulan sama sekali. Bumi mempunyai banyak tenaga hingga terpendam, dan ia melepaskan bila-bila masa walaupun bukan ketika supermoon.
Cuma yang berkaitan dengan air pasang besar itu mungkin pasti kerana fenomena pasang surut berkait rapat dengan tarikan graviti bulan dan Bumi. Kalau berdasarkan pengalaman saya sendiri sebelum ini, fenomena supermoon sebelum telah menyebabkan pasang besar dan air laut sampai ke halaman rumah saya walaupun kedudukan rumah berada 100 meter dari pantai. Masa itu air perigi jadi masin dan langsung tidak boleh digunakan selama lebih 2 minggu.
Di bawah merupakan video tentang kesan fenomena supermoon ke atas bumi. Sekadar untuk tatapan.

No comments:

Post a Comment