02 June 2011

Stail Peribadi Melalui Baju


Salam semua...

Wanita muda dan aktif ingin memiliki stail peribadi. Ia dapat dihasilkan melalui cara penampilan yang telah ditetapkan bersesuaian dengan anda. Teliti tips di bawah dan laksanakan apa yang sesuai yang dapat menampilkan diri anda yang tersendiri;


Leher Baju

Untuk kelihatan langsing dan tinggi, tumpukan perhatian kepada kolar. Bentuk leher baju yang panjang memang sesuai untuk semua jenis leher. Leher berbentuk V dan luas sangat ideal untuk mereka yang berleher kecil dan berwajah bulat. Pastikan anda tidak memakai pakaian yang berspan di bahi, jika perlu, hanya gunakan pelapik span yang tipis sahaja supaya bahu tidak kelihatan lebar dan besar.


Corak Yang Berjalur

Pemakai boleh tampak tinggi dengan corak baju yang berjalur ke bawah. Jika kena caranya, pemasangan butang yang memanjang ke bawah di tengah-tengah baju juga akan memberi kesan langsing. Elakkan dari memakai corak yang berjalur melintang atau kasut yang bercorak sedemikian. Anda akan kelihatan rendah dari saiz sebenar.


Kasut

Jangan sesekali memakai kasut yang berwarna putih melainkan anda benar-benar tinggi. Kasut putih boleh menyebabkan anda kelihatan rendah.


Baju Yang Berpotongan Longgar

Jika mahukan kesan yang langsing, pakaian yang berpotongan longgar dengan fabrik nipis dan lembut beralun mampu membantu agar pemakai nampak langsing. Jika pakaian jenis tiga keping, pastikan anda memilih warna yang sama atau yang senada. Jika tidak, pastikan gandingan warna yang dipilih bertepatan dan sesuai.


Pinggang Kelihatan Kecil

Bagi yang berpinggang lebar, gayakan kain, skirt atau seluar yang berwarna lebih gelap dari baju. Misalnya skirt tanpa corak dengan baju yang berjalur.


Bagi Yang Berpinggang Lebar

Jika mahu tampak pinggang lebih langsing, elakkan memakai corak yang berjalur pada bahagian pinggang ke bawah, juga jangan sesekali memakai warna-warna yang terlalu berkilat, pleated skirts atau seluar panjang yang terlalu lebar. Hiasan yang terlalu berlebihan pada bahagian pinggang ke bawah akan menarik perhatian kerana anda pemakai akan tampak lebih besar. Hanya berikan tumpuan pada bahagian atas sahaja jika mahu bergaya dengan aksesori.





Mengelakkan Tumpuan Pada Pinggang

Larikan pandangan mata orang lain dari pinggang anda dengan memakai pakaian atau gaun malam yang berpotongan luas pada dada. Anda juga boleh memakai kalung yang cantik atau aksesori yang agak berat untuk leher. Pemakaian skaf juga mampu mencuri pandangan.


Warna Putih

Jarang orang menggayakan warna putih ke majlis makan malam. Bagaimanapun, tidak salah jika ingin mencubanya. Tetapi pastikan pakaian tersebut benar-benar sesuai dan lebih elo jika ia mengikut potongan badan. Elakkan warna putih pada bahagian yang ingin dilindungi, misalnya leher yang pendek dan besar.


Aksesori

Gunakan rantai berlian atau dari jenis emas putih jika memakai pakaian yang berleher luas atau pakaian berwarna hitam. Jika pakaian berdasar putih, gunakan aksesori yang berkilauan, elakkan dari memakai aksesori yang berwarna kusam.


Seimbangkan Bahu Dan Pinggang

Agar pinggang kelihatan lebih langsing, pakailah pakaian yang mampu membuatkan bahu kelihatan lebih besar daripada pinggang. Misalnya, penggunaan span nipis sebagai lapik bahu, potongan leher baju yang luas, gabungan warna yang sepadan antara bahagian bawah dan atas iaitu di bawah lebih gelap dari bahagian atas. Ia mampu memberikan kesan yang efektif!





Seghairah mana sekalipun anda ingin memperlihatkan stail sendiri, janganlah sehingga menjadi mangsa fesyen. Yang penting, teliti terlebih dahulu gaya manakah yang paling sesuai bagi mengelakkan tersalah gaya. Ingat, personaliti diri anda dinilai daripada stail peribadi anda!








*p/s: yg paling penting adalah KESELESAAN.




No comments:

Post a Comment